Monday, October 26, 2009

Hospital Selama perlu pakar perubatan

SELAMA 7 Jun – Penduduk di sini merayu Kementerian Kesihatan supaya menempatkan sekurang-kurangnya seorang pakar perubatan di Hospital Selama bagi memberikan perkhidmatan perubatan yang lebih baik kepada mereka.

Keperluan doktor pakar sangat diperlukan pada masa kini ekoran pertambahan jumlah penduduk yang semakin meningkat di samping segala urusan berkaitan masalah kesihatan yang serius tidak perlu lagi dirujuk kepada Hospital Taiping yang terletak kira-kira 50 kilometer dari sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Selama, Datuk Mohammad Daud Mohd. Yusof berkata, keperluan seumpama itu pernah disuarakan sebelum ini kerana penduduk Selama dan sekitarnya termasuk dari selatan Kedah yang menggunakan hospital itu kini telah mencapai 40,000 orang.

‘‘Saya memohon jasa baik Menteri Kesihatan mempertimbangkan permohonan penduduk Selama kerana saya bimbang jika tiada doktor pakar ditempatkan di sini ia akan melambatkan proses mengambil keputusan tentang sesuatu jenis perubatan terhadap pesakit,” katanya selepas menyampaikan sumbangan peralatan perubatan kepada Hospital Selama di sini hari ini.

Mohammad Daud menyampaikan sumbangan alatan perubatan seperti pam suntikan ubat, lampu terapi, nobiliser, troli dan pelbagai peralatan lagi bernilai RM10,000 kepada wakil Pengarah Hospital Selama, Dr. Bernard Saw.
Katanya, pada masa ini Hospital Selama dikunjungi oleh 200 pesakit luar sehari termasuk 300 orang yang dirawat dalam hospital.
‘‘Dengan adanya doktor pakar tersebut pesakit bukan saja tidak menunggu lama untuk mendapatkan rawatan malah tidak perlu lagi ke Hospital Taiping kerana di sana pun sesak,” katanya.

No comments: