Monday, October 26, 2009

Selama jadi pengeluar nangka

SELAMA 8 Ogos – Daerah Selama akan menjadi pengeluar terbesar buah nangka madu madura berikutan permintaan yang tinggi serta kesesuaian penanaman buah-buahan tropika berkenaan di utara negeri Perak.


Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Selama, Datuk Mohd. Daud Mohd. Yusof berkata, pada masa kini 100 hektar tanah di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selama telah ditanam dengan buah nangka dari spesies terbaik itu yang berpotensi untuk dikomersialkan.


Mohd. Daud Mohd. Yusof dan penduduk kampung teruja melihat nangka madu madura di Kebun Belia, Sungai Bayor, Perak, semalam
.





Katanya, daerah Selama memilih buah nangka madu madura kerana ia antara buah nangka yang mudah ditanam serta mempunyai harga tinggi di pasaran dan tidak bermusim.
Beliau berkata, nangka madu ini mula mengeluarkan hasil pada usia satu setengah tahun dengan setiap buah beratnya antara 10 hingga 15 kilogram.

‘‘Selain menjualnya secara mentah kerana aromanya yang begitu menyenangkan, melalui kerjasama dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Lembaga Pemasaran Persekutuan (FAMA), nangka madu madura Selama ini boleh dijadikan cip, halwa dan dibuat jus dan pelbagai penghasilan lain yang bukan sahaja untuk pasaran tempatan tetapi juga untuk dieksport.

‘‘Selain produk nangka yang sedia dimakan terus iaitu yang mengalami pemprosesan minimum segar dan diproses berbentuk cip, kajian menunjukkan kedua-dua produk tersebut mengandungi khasiat yang tinggi dan sesuai untuk dijadikan sebagai makanan kesihatan berbanding kebanyakan buah-buahan import,” katanya semasa melawat Ladang Nangka Madu Madura di sini hari ini.

Ladang seluas dua hektar ini diusahakan oleh dua orang belia iaitu Azam Shahuri Mohd. Daud dan Mohd. Ridzuan Bahari yang kini mampu menghasilkan sebanyak 500 kilogram nangka madu sebulan.

Mohd. Daud berkata, bagi memperluaskan tanaman tersebut di seluruh daerah, pihaknya akan memastikan sekurang-kurangnya setiap rumah akan menanam sekurang-kurangnya sepokok buah nangka untuk mencukupkan bekalan.
Katanya, ia berikutan hasrat PPK untuk membina sebuah kilang khusus untuk memproses buah nangka menjadi produk hiliran yang lain.

‘‘Kita akan menggalakkan belia mengusahakan tanaman ini kerana ia boleh mendatangkan pendapatan tinggi dan kita akan memastikan pasarannya terjamin,” katanya.
Sementara itu Azam Shahuri Mohd. Daud berkata, beliau memilih untuk menanam buah nangka madu madura kerana dalam tempoh setahun setengah sahaja tanaman ini telah berbuah.

Katanya, setiap biji buah tersebut mempunyai saiz yang besar. Pada masa kini harga pasaran ialah RM1.20 sekilo dan ia semakin meningkat.
‘‘Penanaman buah nangka ini tidak mempunyai banyak masalah dan ia boleh diusahakan secara mudah dan nangka madu ini juga keistimewaannya mempunyai banyak isi.
‘‘Kami menjangkakan dapat menghasilkan pendapatan sebanyak RM4,000 hingga RM6,000 sebulan melalui ladang ini,” katanya yang mengusahakan ladang tersebut dengan rakannya Mohd. Ridzuan Bahari di tanah seluas 5.6 hektar di daerah ini.




Rapatkan hubungan semasa Ramadan

SELAMA 5 Sept. - Masyarakat Melayu diminta mengetepikan sementara perbezaan fahaman politik dan menjadikan bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini sebagai medan terbaik merapatkan hubungan sesama sendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan (ADUN) Selama, Datuk Mohd. Daud Mohd. Yusuf berkata, umat Islam perlu menjadikan bulan Ramadhan ini sebagai bulan memupuk perpaduan dan membina ummah.

''Orang Melayu kini sudah berpecah teruk dan kedatangan bulan Ramadan mesti digunakan untuk mengakrabkan semula hubungan sesama kita.

''Sebagai ahli masyarakat bertanggungjawab, tinggalkan sejenak politik kepartian di serambi rumah masing-masing dan jangan sesekali membawa masuk fahaman-fahaman tersebut ke dalam masjid dan surau," katanya.

Beliau berkata, masing-masing perlu mencari jalan untuk meningkatkan perpaduan yang tentunya menguntungkan semua pihak.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan berbuka puasa dan moreh kepada 11 buah masjid dan 41 surau dalam DUN berkenaan sepanjang bulan Ramadan ini yang diadakan di Kampung Bukit Bertam, kira-kira 20 kilometer dari pekan Selama hari ini.

Pengagihan bantuan berupa wang tunai RM200 hingga RM500, bergantung kepada kapasiti masjid dan surau itu telah dilaksanakan sejak lima tahun lalu.

Katanya, perpecahan lebih besar perlu dielakkan dan apa yang perlu dilakukan sekarang ialah bermuafakat antara satu sama lain dan mengatasi apa juga masalah yang dialami masing-masing.

''Jangan ada unsur kepartian dalam masjid dan apa yang kita perlu lakukan ialah meningkatkan taraf hidup dan perpaduan," katanya.


Kerajaan perpaduan satu cadangan positif






Masyarakat Luar Bandar disaran bersatu elak perpecahan


No comments: