Monday, October 26, 2009

Jagung Super Sweet Taiwan subur di Selama

SELAMA 17 Ogos - Penanaman jagung Super Sweet Taiwan 388, jagung paling mahal dan berkualiti didapati paling subur dan sesuai di daerah Selama.

Ia berikutan jagung jenis ini bukan sahaja memberikan hasil yang tinggi tetapi juga boleh berbuah sehingga dua atau tiga tongkol bagi setiap pokok.


''Jarang pokok jagung boleh berbuah dua atau tiga tongkol bagi setiap pokok tetapi di Selama ia merupakan fenomena biasa disebabkan kesuburan tanahnya," kata pengusahanya, Sabri Ali, 39.

Katanya, ia bukan sahaja mudah ditanam, malah ia juga menghasilkan buah yang besar dan tidak memerlukan kos yang tinggi membesarkannya.


''Apa yang menarik lagi jagung jenis ini boleh dimakan begitu sahaja dengan rasanya manis dan lazat.

''Tetapi jika dijual secara tongkol di kampung ini sahaja pun boleh dijual RM1 setongkol dan kalau direbus sedikit ia boleh mencecah sehingga RM2 setongkol," katanya ketika ditemui di ladangnya di Kuala Nor di sini hari ini.

Seorang lagi pengusaha, Ahmad Khamiz Shamsuddin berkata, jagung ini boleh mengeluarkan sehingga 10,000 tongkol bagi setiap 0.5 hektar.

Katanya, penanaman jagung ini menguntungkan kerana dalam 1.2 hektar sahaja ia boleh menanam sehingga 48,000 pokok.


Di samping itu, ujarnya, ia tidak mempunyai masalah dari segi penyakit yang boleh membantut pertumbuhan pokok.

''Buahnya yang kekuningan seperti emas itu juga sesuai untuk dibuat air minuman dan mempunyai khasiat kesihatan," katanya


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Selama, Datuk Mohd. Daud Mohd. Yusof berkata, Super Sweet 388 adalah antara jagung yang diterima oleh FAMA dan boleh dipasarkan secara meluas.

Katanya, apa yang menarik lagi jagung ini mempunyai harga yang terjamin dan boleh dimakan oleh sesiapapun.


''Pokoknya juga boleh dijadikan bahan komersial sebanyak makanan binatang.

''Buahnya boleh dijadikan susu jagung untuk perisa aiskrim dan sebagainya, yang sudah tentu memberikan nilai yang lebih tinggi kepada jagung ini," katanya.

Menurutnya, pada masa ini seluas 40 hektar tanah di Selama ditanam dengan jagung berkenaan.

No comments: